Tuesday, December 21, 2010

GILAKAH DIA..???

Pukul sebelas pagi, lebih kurang begitulah kedua jarum yang terlekat pada jam dinding di dalam bilik menunjukkan waktu pada pada pandangan aku sekarang. Sekurang-kurangnya aku masih tahu mengira waktu walaupun aku aku ak begitu menghargai waktu kerana ketika ini aku baru bangun tidur.


Tekak aku terasa haus dan perit. Dalam masa yang sama aku perlu sesuatu yang lebih daripada segelas air. Bingkas aku bangun dari katil dan menukar pakaian. Hanya sekadar menyuci muka dan menghayun langkah keluar dari rumah dan menuju ke kedai bagi melunaskan sebuah keinginan.


Sesampai saja aku di kedai yang letaknya di tepi jalan, aku terus memilih makanan sarapan aku inginkan. Walaupun pada dasarnya, hari sudah mula hendak bergerak ke tengahari. Tiba-tiba aku terpandangkan sesuatu. Dalam jarak beberapa meter dari tempat aku berdiri, kelibat seorang lelaki berpakaian compang-camping yang sedang mengira butir-butir pasir di tepi jalan sampai bernyanyi-nyanyi seorang diri menarik minat ku. Lama aku melihat gelagat lelaki itu. Seingat aku, belum pernah lagi aku melihat lelaki itu di kawasan ini. Setelah berfikir-fikir membuat pertimbangan, aku mengorak langkah dan merapati lelaki itu.


“Seronok ke mengira pasir ni bang?” aku menyoal. Lelaki gila itu merenung aku dengan pandangan yang tajam. Membuatkan naluri mengesan bahaya ku bordering member amaran. Takut juga kalau-kalau lelaki gila dihadapan ku mula bertindak liar dan merodok perut ku tanpa member salam mahupun kata-kata pendahuluan. “Wa’alaikumussalam!” jawabnya pendek.


Kedengarannya langsung tak ada kena mengena dengan soalan aku tadi. Tapi aku terasa seperti lelaki itu sedang menyindir aku yang terlupa memberikan salam. Aku menggaru kepala dan mula berasa segan. Rupanya dengan orang gila pun kita mesti beri salam ye? Aku pun baru saja tahu. Lelaki itu bercakap-cakap dengan kakinya sendiri sebaik sahaja aku member salam.


“Abang buat apa dekat sini?” aku menyoal lagi setelah yakin lelaki itu tidak kelihatan seperti ingin bertindak ganas. “ Kau dah pergi ke belum?” soal lelaki itu pada aku kembali. Soalan apa ni? Memang sah lelaki ini tidak siuman. Lain ditanya, lain pula jawapannya. Apatah lagi kata-katanya bukan sebuah jawapan tetapi lebih berbentuk soalan. Seronok juga melayan orang seperti ini. Sekurang-kurangnya terhibur sedikit hati aku yang kosong sedari tadi.


“Pergi mana pula?” aku membalas soalannya dengan satu lagi soalan. “Sungai!” jawabnya. Pendek dan mengelirukan. “Nak buat apa pergi sungai?” sekali lagi aku menyoal. “Apa benak sangat kau ni? Pergi sungai dah tentu kena ambil air sembahyang! Waktu Bombay sekarang dah pukul enam belas setengah. Kau tahu tak?” ujar lelaki itu marah-marah. “Pukul enam belas setengah tu pukul berapa?” soal ku. “Aku dah cakap jangan berkawan dengan kelapa parut, tapi kau degil! Kau pun ikut jadi benak macam kelapa parut jugak! Enam belas setengah waktu dua puluh empat jamlah! Lainkali jangan main takraw, nanti kena buasir dekat pinggang!” marah lelaki itu lagi. Aku terkebil-kebil. Memang benar kalau waktu ditukar kepada sistem dua puluh empat jam, pukul empat setengah dipanggil enam belas tiga puluh. Sekali lagi aku menggaru kepala. Betulkah lelaki di depan aku ini tak siuman? Ataupun dia sengaja buat-buat tak siuman?


“Dah lama ke abang jadi macam ni?” aku menyoal kembali. “Aku suka kau tanya aku macam tu. Kaulah orang kedua yang bertanya pada aku macam tu,” lelaki itu tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu aku. Taku juga kalu sevara tiba-tiba dia menikam bahu aku. “Siapa yang nombor satu?” “Israel!” jawabnya ringkas. Ah, sudah! Apa bendanya tiba-tiba sebut Israel pula ni? Memang betul-betul gila! Lagi lama dilayan, lagi banyak merapunya. Aku terasa seperti hendak ketawa tetapi belum pun keluar ledak tawa melalui kerongkong, aku menahannya dengan menelan air liur. Bila difikir-fikirkan balik, rasanya kalau aku ketawakan lelaki itu, mungkin aku akan menjadi tajuk utama akhbar pada esok hari kerana ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki yang kurang siuman.


“Saya tanya tadi, kenapa abang boleh jadi gila macam ni? Bukannya nak suruh cerita pasal Israel!” ujar ku mula hilang sabar. “Siapa gila?” jerit lelaki itu menengking. Beberapa orang yang lalu lalang terkocoh-kocoh menjauhi lelaki itu. “Kau kata aku gila? Orang lain tak gila?” tambah lelaki itu. “Orang lain tak cakap sorang-sorang macam abang, tak ketawa sorang-sorang macam abang,” aku cuba memperlahankan nada suara untuk menenangkan lelaki itu.


“Aku bercakap dengan diri sendiri! Habis, kau selalu bercakap dengan diri sendiri tu gila jugak ke? Orang jahat kat luar sana tu lagi gila! Yang selalu makan rasuah tu lagi gila!”


“Diaorang makan rasuah sebab nak duit, bukannya gila,”aku membidas. “Habis tu, dah tau rasuah tu haram, masuk neraka, kenapa buat jugak? Orang-orang jahat yang selalu merompak, mencuri, merogol, membunuh, semua tu pun gilalah jugak! Yang suka buang anak, pukul budak sampai mati tu tak gila namanya?”


Aku termenung memikirkan kebenaran kata-kata lelaki tak siuman di depan aku kini. Betul juga katanya. Kita selalu mengatakan bahawa orang gila itu gila, tapi hakikatnya, boleh dikatakan hamper semua orang di dalam dunia ini GILA. Setiap seorang dari mereka termasuk aku sendiri diklasifikasikan gila tersendiri.

Gila itu bahasa kasar. Bahasa halusnya MASALAH JIWA. Cukup jarang kita nampak orang mengaku yang mereka sedang dilanda masalah jiwa. Mereka malu untuk mengaku bahawa mereka saki jiwa atau pun mudah digelar gila. Memang benarlah kata orang yang berpengalaman, gila ini ada macam-macam.


SIAPAKAH GILA..?? ORANG GILA, ATAUPUN KITA SEMUA..??

abstract from : majalah APO?